Seni kontemporari buka tirai galeri Artcube – BERITA HARIAN , 29th nov 2013

Artcube_bh

Seni Kontemporari Buka Tirai Galeri Artcube

Pameran Karya Seni Kontemporari Tempatan yang menggabungkan pelukis hebat dan muda tanah air mengolah karya dengan gaya tersendiri di atas kanvas dan arca menggunakan pelbagai campuran media.

Lebih menarik, kepelbagaian itu membuka tirai galeri seni yang baru dibuka, Galeri Artcube, The Intermark, Kuala Lumpur yang akan berlangsung sehingga 20 Disember depan.

Pemilik bersama Galeri Artcube, Azhar Ahmad, berkata usaha pihaknya menghimpunkan karya kontemporari terbaik tanah air bertujuan menonjolkan hasil lukisan anak tempatan yang sepatutnya mendapat pengiktirafan sewajarnya.

“Melalui pameran ini, kami harap masyarakat lebih menghargai memahami dan menghayati seni lukis, sekaligus membuka mata kepada kewujudan ramai anak seni tempatan mampu menghasilkan karya kontemporari bertaraf dunia,” katanya pada Galeri BH di galeri Artcube, Kuala Lumpur, baru-baru ini dan turut dihadiri rakan kongsinya, Fuad Salleh.

Antara karya yang dipamerkan ialah lukisan Haslin Ismail yang berjudul Ultramundane No 11: Thaumaturgist yang dihasilkan menggunakan akrilik dan kolaj di atas jut, seklai gus menjadi antara karyanya paling menonjol dalam siri yang mempunyai 15 lukisan.

Elemen Anatomi

“ Ia masih mempunyai elemen anatomi yang sering saya pilih sebagai tema dalam karya sebelum ini, tetapi sedikit berbeza apabila menyampaikan mesej mengenai masyarakat yang tinggal di kota metropolitan, Kuala Lumpur yang sarat dengan pelbagai cerita, hiruk pikuk dan konflik masing-masing.

“ Bagaimanapun, organ yang dilukis dalam karya ini sengaja tidak digambarkan secara jelas tetapi di bahagian bawahnya bentuk tangan manusia membawa mesej harapan atau doa untuk kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Azrin Mohd pula tampil dengan kritik social mengenai sikap sesetengah masyarakat yang rela menjadi perosak negara menerusi arca Duri Dalam Daging.

Inspirasi Arca

“Saya menghasilkan lebih daripada 50 arca inspirasi daripada ukiran patung tentera ‘terrracotta’ ketika era pemerintahan Maharaja China yang pertama, Qin Shi Shuang.

“Patung itu pula sengaja dibuat dalam pelbagai bentuk, malah ada beberapa yang tidak mempunyai anggota badan bagi melambangkan sifat manusia yang tidak sempurna,” katanya.

Beliau berkata, imej peristiwa bersejarah negara ketika bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan turut dicetak sebagai latar, sekaligus mengingatkan masyarakat supaya bersatu dan dan bersama-sama menjaga keamanan negara.

Antara karya lain yang turut dipamerkan ialah Iqra oleh Husin Hourmain ; Selepas Majlis ( Mohd Fazli Othman); Papan Hitam : Hari Pertama Sekolah Negaraku ( Ahmad Shukri Mohamed) ; Tenaga Ironman (Daud Rahim); Sekebun Bunga III ( Mat Nor Mahmud) dan Top Gun ( Azad Daniel).

Comments are closed.