Gaya Kontemporari Dalam Seni – Kosmo, 30 April 2014

kosmo

MUNGKIN caranya mendefinisikan istilah perhubungan itu berbeza, namun ia diolah dan diterjemahkan dalam pendekatan menarik serta indah menerusi hasil karya.

Pengkarya terkemuka tanah air, Suhaimi Fadzir, dalam karya kontemporari terbaharunya menyerlahkan istilah tersebut menerusi pengaplikasian gaya triptych, lebih mudah difahami sebagai trilogi atau tiga dalam satu.

Menariknya, konsep mix media atau bahan-bahan campuran tiga dalam satu oleh Suhaimi menjadikan hasil karyanya menonjol, bahkan mencuri tumpuan ramai.

Bukan itu sahaja, aspirasi karya Suhaimi turut menyerlahkan daya kreativiti dan kehalusan dalam setiap sentuhan seni yang diceburi beliau sejak 30 tahun lalu.

“Tiga karya ini saya hasilkan dalam tempoh dua tahun dengan menekankan tema perhubungan atau cinta.

“Dengan pendekatan triptych, saya menghasilkan karya ini dengan bahan-bahan yang dijumpai seperti lampu neon, pisau cukur, lampu dan botol,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Bagi karya kali ini, Suhaimi mengetengahkan medium lain berbanding yang biasa digunakan karyawan tempatan. Bukan sekadar kanvas, pewarna atau cat, namun Suhaimi melangkaui medium tersebut dengan menggunakan konsep yang dipanggil neon.

Suhaimi yang pernah mengadakan pameran bersama jurugambar terkemuka Amerika Syarikat (AS), Ansel Easton Adams di Tokyo, Jepun dan artis berpengaruh, Yoko Ono di Dublin, Ireland, telah mempersembahkan tiga karya uniknya itu pada pameran di Artcube.

Judul tiga karyanya yang menggunakan konsep sama ialah Red Marilyn (JFK and Marilyn); Red Shoes (AFK and Zena) dan Red Horns (Kapuki and King).

Karya

Kesemua karyanya ini menterjemahkan tentang perhubungan. Misalnya, karya berjudul Red Marilyn mengetengahkan kisah percintaan antara Presiden AS ke-35, John Fitzgerald Kennedy dengan artis, model dan penyanyi popular AS, Marilyn Monroe.


“Karya berjudul Red Shoes menggambarkan hubungan antara pengumpul koleksi lukisan dengan pengkarya manakala karya Red Horns pula memperlihatkan hubungan ibu bapa dan anak. Simboliknya botol yang ada pada karya ini memberi maksud mudah pecah, seperti mudahnya keretakan dalam sesebuah hubungan jika tidak dipelihara.

“Memang tidak dinafikan, penampilan karya ini sedikit mengejutkan orang ramai pada awalnya, namun lama-kelamaan ia semakin diterima,” ujarnya.

Sebenarnya Suhaimi telah menggunakan kaedah ini sekian lama, namun beliau semakin giat mengetengahkan karya berbentuk seumpama itu dalam karya-karya terbaharunya.

Beliau tidak mahu bidang seni tempatan berada di takuk lama tanpa ada anjakan untuk berada setaraf dengan seni luar negara.

Dalam pada itu, industri seni kontemporari Malaysia menunjukkan perkembangan pesat sejak kebelakangan ini.

Artis seni kontemporari negara telah mencapai pengiktirafan tempatan dan antarabangsa dan dituruti dengan kejayaan komersial.

Selaras dengan permintaan yang tinggi oleh pengumpul karya persendirian mahupun organisasi, karya-karya baharu juga dikenali sebagai pasaran utama daripada artis-artis seperti Suhaimi, Ahmad Shukri Mohamed, Husin Hourmain, Tan Chin Kuan, Eng Hwee Chu atau Zulkifli Yusoff amat sukar diperoleh.

Pasaran kedua adalah penyelesaian terbaik untuk permasalahan ini.

Justeru, bagi mengukuhkan lagi pembangunan pasaran sekunder seni kontemporari Malaysia, Artcube telah mengambil inisiatif untuk memberi bimbingan kepada penggemar seni melalui kajian menyeluruh.

Sejak dirasmikan pada tahun lalu dan dalam masa yang singkat, Artcube berjaya mendominasi pasaran seni kontemporari yang bertaraf tinggi.

->read from Kosmo

Comments are closed.