“Andai aku Tuah…” – INFINITI MAGAZINE, jan 2014

infiniti

“Andai aku Tuah…”

andaiakutuah_fauzin2

Andai Aku Tuah… by Fauzin Mustafa

Merupakan sebuah karya lukisan yang telah dihasilkan oleh seorang pelukis terkenal pada tahun 2013. Lukisan itu telah dipamerkan di Artcube bersempena dengan pembukaan galeri tersebut pada 28 November lalu.

Lukisan tersebut diinspirasikan daripada sebuah pantun melambangkan falsafah melayu dalam mencapai kejayaan tanpa menyinggung perasaan orang lain. Selain itu, ia melambangkan corak keamanan yang infiniti.

Melalui karya tersebut, pelukis telah memaparkan potret seorang pahlawan yang menjadi simbol kebanggaan bangsa Melayu iaitu hang Tuah sebagai watak utama dalam lukisan tersebut. Yang menariknya, pelukis telah menggunakan konsep media campuran yang dihasilkan diatas kertas kanvas.

Pelukis juga telah menggabungkan beberapa elemen seperti kraf tradisional dan teknik-teknik seni akademik dengan unsur-unsur moden dimana beliau menggunakan kedua-dua keping ukiran asli dan cetakan pada kayu sebagai metafora kewujudan realiti dan ilusi. Ia merupakan satu usaha yang mengagumkan kerana bukan senang untuk menghasilkan sekeping naskah kontemporari yang sarat dengan nilai kemelayuan.

Berbicara lagi tentang idea untuk menghasilkan lukisan tersebut, sebelum melukis potret Hang Tuah, pelukis terlebih dahulu mengkaji mengenai sifat dan jati diri yang ada pada pahlawan tersebut.

Sebagaimana yang kita tahu, Hang Tuah memang cukup terkenal dalam dunia Melayu. Ini kerana sifat yang ada pada Hang Tuah itu sendiri telah menjadikan bangsa melayu dipandang tinggi dan dihormati oleh bangsa-bangsa lain.

Antara sifat yang ada pada dirinya adalah setia kepada negara dan pemimpin, bertolak ansur, dalam ketegasan ada santunnya, mempunyai semangat setiakawan yang tinggi serta mempunyai kemahiran berdiplomasi.

Sebab itu jugalah pelukis memilih Hang Tuah sebagai ikon penyatuan masyarakat di Malaysia. Padanya, semua rakyat Malaysia perlu mempunyai pertalian dan sentimen positif terhadap pahlawan mereka tanpa perlu dibuat-buat dan mengetepikan sentimen-sentimen negatif dalam hidup bermasyarakat.

Tambah pelukis itu lagi, seni seharusnya dapat menyatukan orang ramai. Malah, karyanya ini menunjukkan dengan jelas bahawa beliau tidak secara amnya membawa kearah unsur-unsur kiasan dalam karyanya, tetapi lebih mentakrifkan ajarannya seperti yang ada dalam “Andai Aku Tuah…”

Bagi menghasilkan potret tokoh pahlawan Melayu tersebut, beliau menjadikan arca Hang Tuah yang dipaparkan di Muzium Negara, Kuala Lumpur sebagai sumber rujukan visual. Pada karya yang dihasilkan olehnya, tertulis juga tulisan jawi dengan perkataan ‘Tuah’ dan ‘Jebat’ yang merujuk pada pahlawan, sahabat dan lawan.

Ia juga menjadi lambang metafora bagi memaksudkan unsur-unsur positif dan negataif yang wujud dalam masyarakat. Satu lagi simbol keharmonian yang seimbang boleh didapati pada corak ukiran kayu di sepanjang sempadan atas dan bawah lukisan tersebut.

Anda hendak tahu siapa gerangan pelukis diatas? Pelukis yang dimaksudkan ialah Fauzin Mustafa, 47. Beliau merupakan seorang artis kontemporari yang sangat berpengalaman dan terkenal di Malaysia mahupun dunia. Banyak hasil seninya telah dibeli oleh syarikat-syarikat besar didalam mahupun luar negara. Antaranya ialah syarikat dari Jepun, Amerika Syarikat, Denmark dan banyak lagi.

Beliau juga cukup terkenal dengan hasil lukisannya yang berunsur kemelayuan. Malah setiap hasil seninya mengandungi unsur kemelayuan. Walaupun lukisan tersebut bertaraf universal. Karya “Andai Aku Tuah…” juga merupakan satu lambang kehormatan kepadanya sebagai orang Melayu.

Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia lukisan, pelbagai anugerah telah dirangkul. Antaranya ialah memperoleh tempat pertama dalam pertandingan melukis mural 1Malaysia di Balai Seni Negara di Kuala Lumpur pada tahun 2010, mewakili Malaysia dalam pameran-pameran lukisan yang berlangsung di Conpengahen, Denmark, Brunei dan juga Singapura.

Sebenarnya, bakat Fauzin dalam dunia lukisan ini telah dicungkil sejak kecil lagi. Disebabkan minatnya yang mendalam, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Fine Art dan Design di Universiti Teknologi Mara sehingga ke peringkat Sarjana.

Berbicara tentang dunia lukisan, Fauzin menyatakan bahawa tidak ramai yang berminat untuk menjadikannya sebagai bidang pekerjaan. Ini kerana, ramai yang berpendapat bahawa kerjaya ini sangat susah serta memerlukan bakat dan kemahiran yang tinggi.

Tetapi, mereka tidak sedar sebenarnya hasil lukisan akan meningkat seiring bersama-sama pelukis. Ini kerana, masyarakat kini yang semakin menghargai nilai sebuah lukisan secara tidak langsung memberi penghargaan kepada pelukisnya juga.

Kebiasaanya, pelukis akan menghasilkan satu jenis lukisan sahaja. Disebabkan itu, nilai sesebuah lukisan ada yang mencecah sehingga puluhan ribu. Malah, ada juga mencecah hingga jutaan ringgit.

Ini menyebabkan beratus-ratus peminat lukisan akan berebut satu lukisan tersebut untuk dijadikan koleksi mereka. Mereka akan saling membida harga sehinggalah lukisan tersebut menjadi milik mereka.

Comments are closed.