Nafas Baharu Seni Reka Seramik – Kosmo, 19th May 2014

va_02.1

Perkembangan seni reka seramik di negara ini sedang mengalami satu revolusi baharu ke arah lebih moden dan menarik.

Seramik merujuk kepada semua bentuk tanah liat. Bagaimanapun, istilah moden meluaskan penggunaannya untuk merangkumi bahan bukan logam dan bukan organik.

Antara contoh seramik yang popular di negara kita ialah pasu, pinggan mangkuk, tembikar, batu-bata dan jubin.

Atas nama seni kontemporari, seramik telah mula digubah menjadi sesuatu yang lebih menarik dan unik.

Itulah yang dilakukan oleh Al-Khuzairi Ali, 30, salah seorang artis seramik tempatan yang sedang meningkat naik.

Menurut graduan jurusan Seni Halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, seramik mempunyai kelainan tersendiri berbanding medium lain seperti kayu dan besi.

“Saya memilih untuk berkecimpung dalam seni seramik kerana ia mempunyai keistimewaan.

“Malah, saya juga dapati medium ini masih kurang diceburi oleh artis-artis tempatan,” katanya yang menjadikan artis seramik tempatan, Umibaizurah Mahirismail sebagai mentornya.

Ujar anak kelahiran Kuantan, Pahang itu lagi, kebanyakan seramik hadir dalam bentuk tradisional seperti pasu dan pinggan mangkuk.

Namun, bagi memberi nafas baharu yang lebih moden dan menarik, dia memilih untuk menghasilkan seramik dalam bentuk robot dan kerangka haiwan.

Kesemua hasil karya ini mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan.

Ia bermula daripada proses pemilihan tanah liat yang sesuai sebelum dibentuk mengikut rupa yang dikehendaki. Kemudiannya, tanah liat tersebut perlu dibakar pada suhu 900 hingga 1,200 darjah celcius. Ujarnya lagi, bagi artis seramik sepertinya, istilah pecah merupakan sesuatu yang normal.

Belajar

“Pecah merupakan perkara biasa bagi seorang artis seramik. Namun daripada kegagalan itulah kami belajar,” katanya.

Al-Khuzairi merupakan salah seorang artis yang terlibat dalam pameran Remark yang sedang berlangsung di galeri Artcube, Landmark, Kuala Lumpur.

Empat karya terbaharu beliau sedang dipamerkan pada pameran yang berlangsung dari 1 hingga 31 Mei itu, antaranya Rise of Machine II dan Rise of Machine III.

Sementara itu, menurut pemilik galeri Artcube, Azhar Ahmad, pameran tersebut menampilkan lima pelukis baharu berbakat besar seperti Azad Daniel, Anniketyni Madian, Azrin Mohd. Daud Rahim, Dhavinder Singh dan Al-Khuzairi.

“Pameran ini khusus untuk pelukis baharu yang sedang meningkat naik serta menggunakan teknik serta medium yang berlainan dalam menghasilkan karya seperti seramik, warna pensil, ukiran dan cetakan tiga dimensi.

“Walaupun mereka masih baharu, namun di sini kita boleh lihat kebanyakan karya yang dihasilkan adalah bertaraf dunia,” katanya.

Tambah Azhar lagi, dia berharap kesemua karya tersebut dapat dijual sebelum 31 Mei.

Ujarnya, setakat ini beberapa karya telah dibeli oleh beberapa orang pengumpul walaupun pameran itu masih belum dibuka secara rasmi.

Orang ramai yang berminat untuk melihat atau membeli karya-karya seni bermutu tinggi dari pelukis muda tempatan ini bolehlah berkunjung ke galeri tersebut.

 

->Read from Kosmo

Comments are closed.