Remark Buat Pengkarya Muda – Utusan, 4th May 2014

remark-buat_n19-040514

PAMERAN berjudul Remark merupakan sebuah pameran kali pertama yang dianjurkan oleh Galeri Artcube untuk menonjolkan kehebatan pelukis-pelukis muda kontemporari Malaysia.

Menampilkan enam pelukis muda, Azad Daniel, Al-Khuzairie, Azrin Mohd, Daud Rahim, Dhavinder Singh dan Anniketyni Madian, pameran ini secara tidak langsung mempamerkan koleksi karya seni yang cukup menarik untuk diperkatakan.

Dengan perkembangan bidang seni yang cukup meriah ketika ini, pameran Remark ini juga memberikan peluang yang cukup besar terhadap bakat-bakat muda yang terpilih ini.

Kesemua enam orang artis ini memaparkan gaya seni kontemporari yang cukup memukau hadirin yang akan menghadiri pameran yang baru sahaja berlangsung ini dan dijangkakan tamat pada 30 Mei nanti.

Dalam pameran ini, artis Azad Daniel telah menggunakan teknik seni berunsurkan simen terhadap karya-karya seninya kali ini. Kaedah seperti ini merupakan kaedah yang masih lagi jarang dilakukan oleh mana-mana pengkarya seni tempatan.

Paling menarik ialah berkenaan pelukis muda yang dikenali, Al-Khuzairie. Dalam pameran kali ini, beliau telah mengetengahkan hasil karya seni berunsurkan kehidupan.

Pengkarya yang berasal dari Pahang ini telah menetap selama enam tahun Di Shah Alam, Selangor. Difahamkan di kawasan penempatannya merupakan kawasan kehidupan liar terutamanya tapir.

Kebetulan itulah yang menyebabkan Al-Khuzairie mendapat idea untuk menghasilkan karyanya berdasarkan tentang kehidupan semula jadi haiwan.

Baginya, haiwan dan manusia merupakan makhluk Tuhan yang sering bersangkut paut antara satu sama lain. Tanpa haiwan mungkin manusia juga tidak mampu untuk hidup di atas muka bumi ini, kerana ia petunjuk kuasa Tuhan yang amat besar.

Melalui karya seninya juga, Al-Khuzairie ingin menjelaskan sesuatu terhadap manusia yang terlalu rakus demi kepentingan diri semata-mata hinggakan menceroboh kawasan hutan yang menjadi habitat haiwan.

Memaparkan karya seni berbentuk seramik, bentuk tubuh haiwan serta rangka-rangka yang dicipta oleh pengkarya ini begitu menarik dan mempunyai pemahaman yang tersendiri.

Dalam pada itu, Azrin Mohd mempunyai kekuatannya tersendiri apabila menampilkan karya seni berunsur kraf dalam pameran kali ini.

Unsur seni yang cukup sukar untuk dihasilkan ini memberi kekuatan sebenar kepada Azrin untuk memenangi hati pengunjung dengan hasil kraf yang cukup menarik dalam pameran Remark ini.

Sementara itu, bagi Daud Rahim dalam memaparkan karyanya kali ini, beliau nampaknya dalam eksplorasi atau ujikaji melalui teknik yang dikenali sebagai teknik unduran (reverse technique).

Teknik ini juga merupakan salah satu teknik yang masih lagi jarang-jarang dilakukan oleh mana-mana pengkarya tempatan dan teknik ini juga merupakan teknik yang masih lagi baru.

Dhavinder Singh yang masih segar melalui pameran solonya baru-baru ini, masih mengekalkan konsep asli konfiguratif. Baginya ini merupakan usaha untuk membangunkan pergerakan seni tempatan.

Pameran Remark yang mula berlangsung pada Rabu lalu diadakan di Artcube Gallery, 3-10 & 3-13, Level 3, Intermark Mall, The Intermark, 348 Jalan Tun Razak,50400 Kuala Lumpur.

->Read from Utusan

Comments are closed.