Sentuhan Kulit iPhone 5 – 20th May 2014, Harian Metro

remark harian metro

Belum pun sampai ke Galeri Artcube di tingkat tiga The Intermark baru-baru ini, mata tertaut kemas pada replika kulit iPhone 5 yang tergantung di dinding kaca dengan ayat berbunyi ‘More Issues Than Vogue’.

Walaupun karya milik Azad Daniel Haris ini ringkas, hasil sentuhannya tidak pernah mengecewakan pentas seni kontemporari tempatan.

Mempertaruhkan empat hasil seni berasaskan plastik perspek yang dibentuk menyerupai kulit iPhone 5, Azad menampilkan kelainan di pentas REMARK.

Menurut anak kelahiran Kedah berumur 32 tahun ini, idea memilih kulit iPhone 5 untuk siri pameran kali ini banyak dipengaruhi konsep pengagihan seni.

“Saya mengambil kulit iPhone 5 yang kini banyak diplagiat pihak tertentu di pasaran dan mencorakkannya menjadi hasil seni berkualiti menggunakan teknik pemulihan kereta (car restoration techniques).

“Selain reka bentuk lukisnya, ia turut menggunakan teknik catan,” kata­nya.
Selain itu, Azad berkata, beliau turut menyelitkan unsur sindiran dalam setiap karyanya.

“Peningkatan jenayah cetak rompak diterjemah menerusi hasil karya yang dibentuk mengikut rupa dan corak kulit iPhone di pasaran.

“Malah, sindiran turut disampaikan secara terus menerusi potongan ayat ringkas pada hasil karya,” katanya.

Turut memeriahkan pentas REMARK ialah tukang seramik, Al- Khuzairie Ali; pelukis sentuhan ajaib, Daud Rahim; pengarca kayu bermotif Sarawak, Anniketyni Madian; artis kraf berskala besar, Azrin Mohd dan pengkarya seni minimum, Dhavinder Singh.

INFO REMARK

Tarikh: Sehingga 31 Mei 2014
Jumlah Karya: 22
Jumlah Artis: 6
Tempat: Artcube, 3-10 & 3-13, Level 3, Intermark Mall, The Intermark, 348 Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur
Telefon: 03-21811787
E-Mel: artcube3@gmail.com

Comments are closed.